| · Portal |
Help
Search
Members
Calendar
|
| Welcome Guest ( Log In | Register ) | Resend Validation Email |
![]() ![]() ![]() |
| forza_milan |
Posted: Aug 6 2008, 07:57 PM
|
|
Esordienti U12 Group: Members Posts: 29 Member No.: 257 Joined: 20-April 07 |
KISAH ORANG 'CERDIK' DENGAN TIANG LAMPU
Pintu utama itu sudah pun tertutup rapat. Bukan sekadar dikunci, malahan ada palang kukuh yang terpaku secara bersilang semata-mata untuk memastikan pintu itu tidak mudah dikuak apatah lagi dibolosi. Tangan-tangan yang mengunci serta memasang palang pintu itu cukup hebat sebenarnya. Mereka terdiri dari golongan 'cerdik pandai' malahan ada yang terdidik dari universiti tersohor di dunia. Hasil dari percambahan minda golongan secerdik mereka, satu konklusi yang juga bertaraf 'hebat' setaraf dengan kecerdikan mereka, telah pun dicapai langsung diisytihar serta diwar-warkan segera kepada umum. Dan itulah keputusannya : pintu utama itu perlu ditutup segera! Alasannya cukup mudah. Kononnya atas rasa kesedaran yang melampau, ketelusan serta kebertanggungjawaban semaksimanya terhadap kemerosotan bolasepak negara selama ini, mereka telah memilih untuk tidak ingin melihat lagi kelibat Awang import pada saingan bolasepak tempatan di musim-musim akan datang. Tersimpul di benak kita, apakah konklusi itu benar-benar piawai hasil saringan perdebatan hujah bersifat memberi dan menerima yang dilakukan secara professional, rasional lagi terbuka? Apakah ianya benar-benar dipersetujui secara kolektif lagi mutlak atau hanya sekadar klausa 'Arahan Perbendaharaan dan Perintah Am' yang secara sedar atau pun tidak sedar, tidak boleh tidak mesti dipatuhi arahannya? Mengapa tidak serik? Apakah babak kedua yang cuba diputar semula ini tidak akan sekali-kali mengulang tayang episod kehampaan sebagaimana pengalaman kegagalan babak pertama suatu ketika dahulu? Dan yang pentingnya apakah langkah yang diambil ini ibarat pemberian sebutir kapsul penawar yang jika walaupun membuta tuli ditelan mampu menjanjikan suatu keajaiban maha hebat langsung sipenelannya merangkak keluar serta membebaskan diri dari kelongsong kehinaan yang berpanjangan? Jika keputusan tersebut terus dikekalkan, pada hemat saya, bersedialah, musim hadapan liga bolasepak tempatan akan terus dibelenggu oleh kesuraman yang panjang. Tidak ada lagi sorak sorai penonton yang membingitkan telinga. Tidak ada lagi paluan gendang bersahut-sahutan bertujuan membakar semangat pejuang-pejuang di padang. Anda hanya perlu mengeluarkan jari untuk mengira bagi mendapatkan jumlah penonton yang berkunjung. Dan pastinya yang menjadi penonton setia hanyalah pancaran lampu limpah serta deretan bangku-bangku yang berbogel tidak dihuni! Suka atau pun tidak, lambat laun detik perpisahan itu pasti akan tiba. Kita akan merindui penampilan mereka si Awang import, bukan sahaja yang pernah mewakili skuad Hijau Kuning malahan pasukan-pasukan lain juga. Walaupun dipandang serong dan walaupun khidmat mereka telah tidak diperlukan pada musim akan datang, akuilah hakikat bahawa mereka pernah berbakti di bumi ini. Mereka pernah berbudi di sini. Mereka pernah mewarnai kerancakan kancah bolasepak di tanah air tercinta ini. Tentunya jasa mereka akan tetap menjadi suatu kenangan abadi untuk sama-sama kita sanjungi. Tentu anda masih ingat, sebaik sahaja menjaringkan gol Marlon menyelak jersinya sambil menunjukkan angka 50 yang tertera. Tentunya beliau bermaksud untuk mendedikasikan jaringan tersebut buat Baginda Sultan Kedah. Itulah bentuk penghargaan yang diisyaratkannya dengan cara tersendiri sebagai penghormatan buat ke Bawah Duli Tuanku. Itulah indahnya bolasepak itu, saling hormat menghormati, bagi yang memahami. Segala perbezaan adat resam, budaya, benua, bahasa, tata susila serta anutan agama tidak pernah menjadi batu sempadan yang memisahkan. Bahkan elemen-elemen asing itu saling bertaut, bersatu serta bercantum di tengah gelanggang. Ternyata keindahan seumpama itu gagal dihidu oleh mereka-mereka yang hanya tahu menjatuhkan hukuman yang belum pasti siapakah pesalahnya! Saya ingin mengakhiri catatan ini dengan sebuah satira yang saya rasa ada baiknya kita kongsi bersama. Dalam kolumnya di sebuah akhbar tempatan, seorang wartawan veteran telah menulis begini : "Hai kawan, apa yang anda cari di bawah tiang lampu itu?" "Saya cari anak kunci" "Dimana anda hilang anak kunci itu?" "Di seberang jalan sana!" "Habis, kenapa tak cari di seberang jalan sana?" "Kerana lampu di sini lebih terang!" Saya ingin menambah cerita tersebut supaya menjadi lebih berkesan : "Mengapa pula anda memegang kapak?" "Saya ingin menebang tiang lampu ini. Saya orang 'cerdik'. Tetapi tiang lampu ini telah menipu saya. Saya gagal menemui anak kunci itu di sini!" Setelah tiang lampu itu tumbang, maka lengkaplah 'kecerdikan' orang cerdik itu! |
![]() |
![]() ![]() ![]() |